Pada zaman permulaan pendidikan
Tamil di Tanah Melayu, konsep “Sekolah Pondok” ( Tinnai Palli) digunakan untuk
tujuan pengajaran. Pada kebiasaannya, sekolah pondok ini terletak di rumah-rumah pendeta kuil di ladang-ladang
berkenaan. Buku-buku pelajaran amat sedikit digunakan dalam pendidikan ini.
Tapak berpasir dijadikan sebagai bahan tulisan dan jari murid-murid menjadi
alat tulisan dalam pendidikan informal ini. Dengan cara inilah, anak-anak
pekerja India memulakan pendidikan mereka di Tanah Melayu.
Pendidikan Tamil secara
formal bermula pada tahun 1816 di sebuah bangunan khas di Penang Free School
yang terletak di Pulau Pinang. Namun, sambutan yang amat buruk telah
menyebabkan Sekolah Tamil ini berhenti beroperasi dalam masa yang singkat.
Pada tahun 1834, pendidikan
Tamil sekali lagi dimulakan tetapi kini di Singapore Free School. Keadaan yang
sama telah dihadapi oleh pendidikan Tamil di Singapura. Pihak British
berpendapat bahawa pendidikan Tamil di Singapore Free School tidak memberi
sebarang kesan yang positif kepada murid-murid Tamil. Pada masa yang sama
mereka juga tidak dapat melantik seorang penyelia berbangsa Eropah yang berpengetahuan
Tamil untuk menyelia pendidikan Tamil di sini. Faktor-faktor ini menyebabkan
pendidikan Tamil di Sngapore Free School ditutup pada tahun 1836.
Pendidikan Tamil
kemudiannya dimulakan di Singapore Institution yang terletak di High Street,
Singapura. Percubaan ini turut mengalami kegagalan pada tahun 1839.
Sumber-sumber sejarah mencatatkan bahawa pendidikan Tamil ditubuhkan oleh pihak
kerajaan pada tahun 1881 di Singapura atas nama Singapore Tamil Section dan
Kampung Keling Tamil Section. Walau bagaimanapun, sejarah perkembangan megenai
sekolah-sekolah ini tidak dketahui.
Pekerja-pekerja India yang
tinggal bertaburan di merata tempat telah memberi kesan kepada kewujudan sekolah-sekolah
Tamil yang banyak di Tanah Melayu. Kekurangan pelajar telah menyukarkan
sekolah-sekolah ini untuk erus beroperasi. Oleh yang demikian, pihak British
mengambil langkah wajar untuk menjadikan mata pelajaran Bahasa Tamil sebagai
salah satu subjek kepada murid-murid Tamil di sekolah-sekolah bukan berhaluan
Tamil. Langkah ini diaplikasikan di St. Francis Xavier Malabar School,
Singapura dan di Tarangera, Melaka. Namun, kaedah ini juga turut mengalami
kegagalan.
Pendidikan Tamil turut
diajar di Ladies’ Bible dan Tract Society pada tahun 1862. Pada tahun 1881,
pihak British telah mengemukakan Sistem Pendidikan Tamil yang baru. Melalui sistem
ini, mereka mendirikan Sekolah Inggeris untuk murid-murid Tamil. Di mana,
pendidikan Inggeris diajar pada waktu pagi dan pendidikan Tamil pada waktu
petang. Para pelajar perlu membayar yuran kepada guru berkenaan untuk
mendapatkan pengajaran Pendidikan Tamil
Walaupun sekolah-sekolah
Tamil di Tanah Melayu menempuh pelbagai cabaran dalam perkembangannya, namun
masih kurang mendapat perhatian daripada pihak kerajaan. Hal ini mengakibatkan
kualiti dan taraf pendidikan Tamil masih pada tahap yang kurang memuaskan pada
ketika itu.