Tuesday, 8 September 2015

Soalan Kuiz!

Cara terbaik untuk menguji tahap pemahaman anda tentang sejarah pendidikan Tamil adalah melalui jawapan spontan seseorang berdasarkan soalan yang diberi. Jom uji pemahaman! Anda hanya perlu membaca lima soalan dan berikan jawapan spontan kepada setiap satu soalan yang diberi. Kemudian, baru semak jawapan anda melalui jawapan yang dikongsikan.



  1. Terangkan tindakan yang diambil oleh kerajaan Inggeris untuk mengatasi masalah kekurangan guru yang terlatih?
  2. Berikan objektif pendidikan Tamil dan tujuan objektif tersebut.
  3. Apakah cara pengukuhan pendidikan Tamil yang dilakukan oleh kerajaan Inggeris?
  4. Apakah masalah yang dihadapi oleh Sekolah Tamil?
  5. Berikan ciri-ciri Sekolah Tamil.


Jawapan:
  1. Guru-guru sekolah Tamil yang tidak berkelulusan diberi khusus yang khas mengenai cara mendidik mata pelajaran tersebut. 
  2. Objektif pendidikan Bahasa Tamil yang diberikan pada masa itu berbentuk Functional Literacy iaitu menguasai 3M ( membaca, menulis dan mengira) dalam Bahasa Tamil supaya kanak-kanak ini boleh turut mengikuti dalam main stream pendidikan di India apabila ibu bapa mereka balik ke India nanti. 
  3. Kod pekerja yang diterbitkan oleh kerajaan Inggeris mewajibkan semua pengurus ladang harus memberikan pendidikan kepada anak-anak pekerja di ladang mereka yang berumur antara 10 hingga 14 tahun pada tahun 1912. Peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan British juga meyebabkan sekolah-sekolah Tamil mula wujud di kawasan perladangan secara kecil-kecilan. 
  4. Sambutan orang India terhadap Sekolah Tamil yang kurang memuaskan merupakan masalah utama yan dihadapi oleh Sekolah Tamil. Selain itu, sekolah yang tidak mencukupi dan kurang dilengkapi dengan kemudahan asas di samping kebanyakan anak-anak India kurang berminat untuk belajar turut memburukkan lagi keadaan ini.
  5. Sekolah Tamil biasanya terletak di ladang-ladang dan dikendalikan oleh pihak ladang dan mubaligh Kristian. Bahasa Tamil pula sebagai bahasa pengantar dan sukatan pelajaran serta buku teks adalah diimport dari India. Pada masa yang sama, Sekolah Tamil hanya diwujudkan pada peringkat rendah sahaja.



Sekiranya anda dapat jawab kelima-lima soalan tersebut dengan jawapan yang tepat, Tahniah! Anda telah memahami Pendidikan Tamil sebelum kemerdekaan dengan mendalam. Jika anda mendapati anda menghadapi masalah dalam menjawab 2 soalan atau ke atas, anda seharusnya membaca semula teks yang terkandung dalam blog ini. Pada masa yang sama, anda juga boleh merujuk kepada laman web inihttp://akugpc.blogspot.my/2010/03/sistem-pendidikan-di-tanah-melayu.html untuk ilmu pengetahuan yang lebih mendalam.




Wednesday, 5 August 2015

Ciri-ciri Sekolah Tamil

Pada waktu ini, sekolah sudah dibahagikan kepada 2 peringkat persekolahan iaitu Pelajaran Rendah dan Pelajaran Menengah. Namun begitu terdapat lebih banyak sekolah rendah berbanding menengah kerana Sekolah Menengah diwujudkan untuk kepentingan penjajah sahaja.

          Sekolah rendah yang wujud mempunyai pelbagai-bagai sistem pentadbiran yang tidak selaras. Ciri – ciri Sekolah Tamil boleh dilihat seperti contoh dibawah :-


Sekolah
Ciri-ciri
Tujuan
Sekolah Tamil
1.      Terdapat diladang-ladang dan dikendalikan oleh pihak ladang dan mubaligh Kristian.
2.      Bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar
3.      Sukatan pelajaran dan buku teks di import dari India
4.      Terdapat sekolah peringkat rendah sahaja.
·            Pendidikan Tamil untuk mengekalkan anak-anak menjadi buruh diladang itu.
·            Enakmen Buruh 1912, telah mewajibkan pemilik ladang menyediakan sekolah bagi jika ada 10 anak pekerja yang layak bersekolah.


          Namun begitu terdapat sedikit perubahan didalam sistem persekolahan ketika itu apabila Penyata Barnes keluar pada 1950 menyatakan ’pendidikan sekolah rendah adalah sebagai alat perpaduan masyarakat’. Pernyataan ini menyebabkan sistem pendidikan telah dikaji semula secara terperinci. Hasilnya satu sistem pendidikan kebangsaan wujud dan terbuka kepada semua kaum. Bahasa pengantar bagi sekolah kebangsaan ada dua iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Rentetan dari ini, Sekolah Cina dan Tamil dihapuskan.





Video ini menunjukkan pendidikan vernakular yang merangkumi Pendidikan Tamil di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan.



Tuesday, 4 August 2015

Sejarah Perkembangan Sekolah Tamil

Sebagai penyelesaian kepada masalah-masalah tersebut, Kerajaan British telah mengambil beberapa langkah untuk mengembangkan sekolah-sekolah Tamil seperti yang berikut:




Rajah ini telah menunjukan inisiatif yang diambil oleh Kerajaan British untuk mengembangkan Sekolah Tamil.


          Sama seperti sekolah Melayu, sekolah-sekolah Tamil di negara kita pada zaman itu juga hanya terhad kepada tahap persekolahan rendah sahaja. Hal ini adalah kerana kebanyakan orang India kurang mampu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah Tamil. Golongan orang India yang berada lebih cenderung untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah Inggeris.

          Sebagai rumusan, Sekolah Tamil telah didirikan mengikut etnik India sahaja. Sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Vernakular. Berbanding dengan Sekolah Inggeris, sekolah-sekolah ini hanya mampu membekalkan murid-murid dengan pendidikan asas melalui Bahasa Tamil. Ini menyukarkan murid-murid lepasan sekolah vernakular untuk memperoleh pendidikan tinggi.






Monday, 3 August 2015

Sekolah Tamil

          Marilah kita teliti sejarah persekolahan orang India, orang Tamil merupakan golongan terbesar pendatang-pendatang India ke Tanah Melayu. Kesan penghijrahan mereka secara besar-besaran dari Indi Selatan ke ladang-ladang getah, gula, kelapa dan kopi di beberapa negeri di Tanah Melayu mendesak pemilik-pemilik ladang untuk mendirikan sekolah-sekolah Tamil bagi mendidik anak-anak pekerja. Antara sekolah-sekolah tersebut termasuk:


·  Sekolah Tamil di Pulau Pinang 1816
·  Sekolah Anglo-Tamil di Melaka 1850- wujud hanya selama 10 tahun sahaja
·  Sekolah St Xavier Malabar di Singapura 1859






            Rajah ini menunjukkan masalah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah Tamil pada ketika itu.






Sunday, 2 August 2015

Cara Pengukuhan Pendidikan Tamil

          Pada tahun 1912, kod pekerja yang diterbitkan oleh kerajaan Inggeris mewajibkan semua pengurus ladang harus memberikan pendidikan kepada anak-anak pekerja di ladang mereka yang berumur antara 10 hingga 14 tahun. Pegawai buruh ditanggungjawabkan untuk menjaga perkembangan sekolah-sekolah Tamil di ladang-ladang. Kod ini telah dilaksanakan sehingga tahun 1933.

          Peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan British meyebabkan sekolah-sekolah Tamil mula wujud di kawasan perladangan secara kecil-kecilan. Sekolah-sekolah ini dijalankan di tempat asuhan kanak-kanak, kuil-kuil di ladang, asrama pekerja dan di beberapa kilang getah yang ditetapkan oleh majikan. Namun, kualiti pendidikan Tamil masih rendah berbanding dengan sekolah-sekolah vernakular yang lain di Tanah Melayu. Hal ini disebabkan oleh kekurangan guru yang terlatih di sekolah-sekolah Tamil.




Rajah ini merupakan keadaan Sekolah Tamil pada tahun 1912


          Oleh itu, apabila kerajaan Inggeris mula memberi perhatian terhadap pendidikan Tamil di Tanah Melayu mereka menyeru pihak majikan yang mendirikan Sekolah Tamil supaya menetapkan seorang guru sepenuh masa di sekolah tersebut. Ini dapat menggantikan guru-guru sementara yang tidak terlatih di ladang-ladang tersebut.

          Bagi menyelesaikan masalah ini, pihak majikan telah membawa masuk guru-guru yang mempunyai latihan perguruan dari India untuk mengajar di sekolah-sekolah Tamil di kawasan perladangan. Walaupun begitu, apa yang membimbangkan adalah pada tahun 1937 hanya kurang dari 25% daripada 800 orang guru di keseluruhan Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu yang mengajar Bahasa Tamil memiliki Sijil Perguruan.




Saturday, 1 August 2015

Zaman Keemasan Pendidikan Tamil

          Tahun 1900-an merupakan masa keemasan bagi pendidikan Tamil di Tanah Melayu. Kerajaan Inggeris mahupun para majikan mula memberi perhatian terhadap pendidikan Tamil berbanding sebelumnya yang lebih bersikap acuh tak acuh. Namun, perubahan sikap ini memang mempunyai niat yang sebaliknya. Perubahan sikap pihak British ini adalah bagi menarik pekerja-pekerja India Selatan yang baru untuk bekerja di ladang-ladang getah yang pada ketika itu berkembang pesat. Lebih-lebih lagi, langkah ini juga sebagai ganjaran untuk mengelakkan pekerja-pekerja India yang sedi ada pulang ke negara asal mereka. Ringkasnya, tujuan sebenar orang-orang British adalah untuk mendapatkan bekalan buruh yang berterusan tanpa gangguan bagi menjamin industri mereka di Eropah.




Bilangan murid-murid di Sekolah Tamil telah menambah dengan dasar yang dijalankan oleh pihak British.




Thursday, 30 July 2015

Objektif Pendidikan Tamil

          Objektif pendidikan Bahasa Tamil yang diberikan pada masa itu berbentuk Functional Literacy iaitu menguasai 3M ( membaca, menulis dan mengira) dalam Bahasa Tamil supaya kanak-kanak ini boleh turut mengikuti dalam main stream pendidikan di India apabila ibu bapa mereka balik ke India nanti. Segala isi pelajaran adalah berdasarkan latar belakang India ( Indian based curriculum) dan unsur-unsur Tamil sahaja. Kejayaan murid-murid dalam pendidikan jenis ini dinilai dari segi kecekapan membaca dan menulis serta penghafalan karya klasik dan epik-epik Hindu. Darjah tertinggi dalam sekolah ini adalah Darjah VI. Namun, di kebanyakan sekolah Tamil pendidikan hanya diberi sehingga Darjah III dan IV kerana kebanyakan sekolah ini hanya mempunyai seorang guru sahaja dan keadaan ini menyukarkan beliau mengajar banyak kelas.





Objektif pendidikan Bahasa Tamil yang diberikan pada masa itu lebih menekankan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira dalam Bahasa Tamil



Wednesday, 29 July 2015

Sejarah Perkembangan Pendidikan Tamil Di Tanah Melayu

          Pada tahun 1930-an, buat pertama kali dalam sejarah perkembangan pendidikan Tamil di Tanah Melayu, seorang pegawai pendidikan dilantik oleh pihak British untuk mengawasi sekolah-sekolah Tamil di Tanah Melayu. Oleh kerana, beliau meninggal dunia dalam masa yang singkat setelah memegang jawatan itu, seorang lagi pegawai dilantik bagi menggantikan beliau pada tahun 1937. Pegawai ini dihantar ke London untuk mempelajari Bahasa Tamil di School of Oriental and African Studies. Seterusnya, beliau juga dihantar ke Tamil Nadu, India untuk tujuan mempelajari sistem pendidikan Tamil di Tanah Melayu.

          Tindakan untuk mengatasi masalah kekurangan guru yang terlatih diberi perhatian oleh kerajaan Inggeris. Pada tahun 1938, guru-guru sekolah Tamil yang tidak berkelulusan diberi khusus yang khas mengenai cara mendidik mata pelajaran tersebut. Pada tahun 1941, seramai 200 orang guru mengikuti kursus ini dan memperolehi kelulusan. Kursus ini terpaksa diberhentikan sewaktu penjajahan Jepun di Tanah Melayu. Pada ketika ini, pendidikan Tamil sekali lagi terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam perkembangannya.



Rajah ini menunjukkan keadaan kelas di Sekolah Tamil yang kurang selesa pada masa ketika itu


          Sejurus tamat penjajahan Jepun dan sekembalinya kerajaan Inggeris, telah memberi hidup baru kepada pendidikan Tamil. Pada tahun 1946, Darjah VII diperkenalkan di sekolah-sekolah Tamil. Para kelulusan Darjah VII diberi peluang untuk menjadi guru di Sekolah Tamil. Mereka diberi latihan perguruan dan dibayar gaji yang serata dengan gaji guru-guru sekolah Melayu.

          Pada tahun 1950, satu latihan perguruan khas diberikan kepada guru-guru sekolah Tamil untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di sekolah Tamil. Langkah ini telah membuka satu lembaran baru kepada kanak-kanak India di Tanah Melayu. Pada tahun 1956, P.P.Narayanan, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-pekerja ladang ( National Union Of Plantation Workers-N.U.P.W) telah meminta Federal Legislative Council untuk memasukkan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai salah satu mata pelajaran dalam kurikulum Sekolah Tamil. Usaha ini adalah untuk mewujudkan integrasi penduduk India dengan kaum-kaum lain di negara ini.





Tuesday, 28 July 2015

Sejarah Perkembangan Pendidikan Tamil Di Singapura

           Pada zaman permulaan pendidikan Tamil di Tanah Melayu, konsep “Sekolah Pondok” ( Tinnai Palli) digunakan untuk tujuan pengajaran. Pada kebiasaannya, sekolah pondok ini terletak di rumah-rumah pendeta kuil di ladang-ladang berkenaan. Buku-buku pelajaran amat sedikit digunakan dalam pendidikan ini. Tapak berpasir dijadikan sebagai bahan tulisan dan jari murid-murid menjadi alat tulisan dalam pendidikan informal ini. Dengan cara inilah, anak-anak pekerja India memulakan pendidikan mereka di Tanah Melayu.

          Pendidikan Tamil secara formal bermula pada tahun 1816 di sebuah bangunan khas di Penang Free School yang terletak di Pulau Pinang. Namun, sambutan yang amat buruk telah menyebabkan Sekolah Tamil ini berhenti beroperasi dalam masa yang singkat.

          Pada tahun 1834, pendidikan Tamil sekali lagi dimulakan tetapi kini di Singapore Free School. Keadaan yang sama telah dihadapi oleh pendidikan Tamil di Singapura. Pihak British berpendapat bahawa pendidikan Tamil di Singapore Free School tidak memberi sebarang kesan yang positif kepada murid-murid Tamil. Pada masa yang sama mereka juga tidak dapat melantik seorang penyelia berbangsa Eropah yang berpengetahuan Tamil untuk menyelia pendidikan Tamil di sini. Faktor-faktor ini menyebabkan pendidikan Tamil di Sngapore Free School ditutup pada tahun 1836.

          Pendidikan Tamil kemudiannya dimulakan di Singapore Institution yang terletak di High Street, Singapura. Percubaan ini turut mengalami kegagalan pada tahun 1839. Sumber-sumber sejarah mencatatkan bahawa pendidikan Tamil ditubuhkan oleh pihak kerajaan pada tahun 1881 di Singapura atas nama Singapore Tamil Section dan Kampung Keling Tamil Section. Walau bagaimanapun, sejarah perkembangan megenai sekolah-sekolah ini tidak dketahui.

          Pekerja-pekerja India yang tinggal bertaburan di merata tempat telah memberi kesan kepada kewujudan sekolah-sekolah Tamil yang banyak di Tanah Melayu. Kekurangan pelajar telah menyukarkan sekolah-sekolah ini untuk erus beroperasi. Oleh yang demikian, pihak British mengambil langkah wajar untuk menjadikan mata pelajaran Bahasa Tamil sebagai salah satu subjek kepada murid-murid Tamil di sekolah-sekolah bukan berhaluan Tamil. Langkah ini diaplikasikan di St. Francis Xavier Malabar School, Singapura dan di Tarangera, Melaka. Namun, kaedah ini juga turut mengalami kegagalan.

           Pendidikan Tamil turut diajar di Ladies’ Bible dan Tract Society pada tahun 1862. Pada tahun 1881, pihak British telah mengemukakan Sistem Pendidikan Tamil yang baru. Melalui sistem ini, mereka mendirikan Sekolah Inggeris untuk murid-murid Tamil. Di mana, pendidikan Inggeris diajar pada waktu pagi dan pendidikan Tamil pada waktu petang. Para pelajar perlu membayar yuran kepada guru berkenaan untuk mendapatkan pengajaran Pendidikan Tamil

          Walaupun sekolah-sekolah Tamil di Tanah Melayu menempuh pelbagai cabaran dalam perkembangannya, namun masih kurang mendapat perhatian daripada pihak kerajaan. Hal ini mengakibatkan kualiti dan taraf pendidikan Tamil masih pada tahap yang kurang memuaskan pada ketika itu.





Pendidikan Tamil Sebelum Merdeka

          Orang-orang India yang sanggup bekerja di kawasan-kawasan terpencil yang baru dibuka supaya dapat mengumpul wang yang cukup sebelum balik ke India hanya diberi kemudahan asas oleh pihak majikan mereka. Peluang pendidikan kepada anak-anak mereka langsung tidak diambil kira oleh majikan. Perhubungan mereka dengan penduduk-penduduk Tanah Melayu yang lain adalah terhad. Kedudukan ini telah menggalakkan pekerja-pekerja India bebas mengamalkan kebudayaan dan tradisi masing-masing.

          Dengan tujuan ini, pendidikan Tamil diberikan kepada kanak-kanak berbangsa Tamil, pendidikan Malayalam bagi kanak-kanak berbangsa Malayalam dan pendidikan Telugu bagi kanak-kanak berbangsa Telugu. Orang-orang Punjabi juga telah mempunyai Sekolah Punjabi bagi anak-anak mereka.

          Setelah beberapa dekad kemasukan orang-orang India ke Tanah Melayu, masyarakat Telugu dan Malayalam yang merupakan kumpulan minoriti dalam kalangan penduduk India di Tanah Melayu, mula memberikan pendidikan Tamil kepada anak-anak mereka. Ini adalah disebabkan Bahasa Tamil merupakan Bahasa perantaraan dalam kalangan orang-orang India di negara ini. Walaupun demikian, kewujudan sekolah-sekolah Telugu dan Malayalam adalah fenomena biasa sehingga tahun-tahun tujuh puluhan.




Gambar ini merupakan contoh gambar kelas di salah satu Sekolah Tamil.




Sejarah Pendidikan Di Tanah Melayu

          Berdasarkan sejarah Tanah Melayu, pada tahun 1854, Gabenor Negeri-negeri Selat telah diarahkan oleh pihak pengurusan Syarikat India Timur untuk menyediakan laporan mengenai status pendidikan ketika itu, seterusnya menasihatkan Kerajaan India megenai tindakan susulan yang wajar diambil. Antara perkara-perkara yang diberi perhatian serius termasuk:

(a) Apakah bahasa tempatan yang digunakan sebagai bahasa pengantar pada tahap pendidikan awal, terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman dan luar bandar?
(b) Apakah sistem pendidikan yang sesuai dilaksanakan sama ada oleh orang perseorangan atau dakwah Kristian?

         Jawapan bagi persoalan-persoalan di atas amat penting bagi Kerajaan British kerana di bawah pemerintahan British ketika itu, ketiga-tiga kaum etnik, iaitu Melayu, Cina dan India diasingkan dari segi pendidikan . Dasar British " Pecah dan Perintah" diamalkan melalui sistem pendidikan yang direkabentuk bertujuan untuk menimbulkan pembahagian dalam kalangan rakyat jelata.